Entry: Tayar pancit di JB Thursday, October 13, 2005



Tayar pancit di JB
Oleh Anakmuar

Hari ini aku ke Johor Bahru lagi. Ini bermakna sudah dua hari berturut-turut aku ke sana untuk memperbaharui permit enam pekerja asing yang akan tamat pada 17/10/2005. Semuanya gara-gara talian komputer Imigresen JB 'off-line'. Aku bertolak dari rumah pada jam 7.30 pagi dan sampai di JB jam 9.35 pagi. Walaupun masih awal, kulihat Jabatan Imigresen Bahagian Pekerja Asing begitu sesak dengan manusianya. Pening aku melihatnya.

Kepeninganku bertambah-tambah dan berganda-ganda apabila aku melihat memo yang menyatakan talian masih 'off-line'. Tensionnya. Aku mendapat nombor 2040 dan nombor terkini adalah 2010. Walaupun jarak dua nombor itu tidak jauh tetapi ia tidak bergerak-gerak. Walaubagaimanapun aku tetap akan menunggu sehingga talian 'on-line' semula.

Aku serba tak kena, sekejap aku tidur, sekejap aku bangun, sekejap aku ke kereta dan sekejap aku ke Imigresen semula namun nombor masih tidak bergerak. Kira-kira pukul 12.00 tengahari baru nombor bergerak tetapi agak perlahan. Akhirnya pukul 3.30 petang nomborku dipanggil jua setelah menunggu dari jam 9.35 pagi. Alhamdulillah.... akhirnya kerjaku selesai juga.

Sebelum balik aku membeli beberapa keping VCD di Jalan Wong Ah Fok. Sesampai sahaja aku di Tol Skudai, aku berhenti di tepi lebuh-raya untuk tidur kerana mataku begitu mengantuk. Apabila terjaga selepas 10 minit, aku bertolak semula.

Selepas beberapa meter keretaku bergerak, tiba-tiba kurasakan keretaku melayang ke kiri dan ke kanan serta tidak seimbang. Alamak! Keretaku pancit ke?


Aku sedang mengangkat kereta menggunakan 'jack'

Tekaan dan sangkaanku benar kerana tayar kereta di bahagian belakang pancit terkena 3 paku. Terpaksalah aku menukar tayar tersebut dalam keadaan cuaca panas terik. Nasibku bertambah malang kerana tayar 'spare'ku juga lembik. Aku tekad untuk memandu juga walaupun ia tahu tayar 'spare'ku itu lembik. Aku memandu sekitar 80 km/jam sahaja sehingga ke Hentian Machap. Aku rasa dekat 45km aku bawak perlahan macam tu. Lori yang bawak perlahan pun dapat memotong aku.

Lepas aku mengepam tayar barulah aku memecut. Apabila keluar dari lebuh-raya di Tol Pagoh, aku mencari kedai tayar. Nasib baik kedai tayar tidak jauh dari tol.

Aku bernasib baik kerana paku tersebut tidak mengenai tepi tayar. Kalau tidak terpaksa aku menggantikan dengan tayar baru macam yang pernah aku alami beberapa kali sebelum ini. Aku kena caj RM6 sahaja.

Sampai rumah dah pukul 6.00 petang. Aku tengok cucu Kak Rahmah iaitu jiranku sedang dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan. Kesian aku tengok Kak Rahmah.  Cucunya yang berumur 2 tahun tu meninggal sebab kena paru-paru jangkitan kuman. Dah seminggu kat ICU hospital Muar.

Aku dan isteriku pergi ke pasar ramadhan untuk membeli juadah berbuka puasa petang ini. Hari ini seperti hari-hari yang lalu, aku dan keluargaku berbuka di rumah mak. Malam itu aku tertidur awal di atas kerusi.

   1 comments

blackpurple
March 2, 2006   02:18 PM PST
 
lamanyer tak gi JB...hehehe...

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments